1

Rasul Sebagai Suami

Posted by firdaus on 2:03:00 PM


Rasul Sebagai Suami

Puas, kukerah dan kuperah akal dan hati namun jangkauan rasa dan minda tetap tidak kesampaian. Ya, aku kerdil dan dosa ini terasa begitu hina walaupun sekadar untuk memujimu. Sinar peribadimu terlalu agung untuk dipantulkan pada cermin hatiku….
Sungguh kehebatanmu tidak mampu kugambarkan. Namun kugagahi jua, dengan berbekal seuntai selawat kecatatkan memori seorang suami meneladani isteri. Tetapi suami bukan sebarang suami, suami ini ialah Rasulullah SAW.

Betapa romantiknya kau ketika berlari-lari dengan si Humaira’ itu. Berlumba penuh ceria malam itu di padang pasir yang dingin. Malam itu menjadi saksi ketika kau kalahkan dia dalam senyum tawamu. “Ini balasan yang dulu,” ujarmu sambil tersenyum mengimbau nostalgia ketika kau dikalahkan olehnya pada awl perkahwinan.
Pada ketika tertentu, kau jahit sepatumu yang robek dan bajumu yang koyak. Ah, tidak dapat dibayangkan betapa Rasul pilihan itu menjadi semakin luar biasa apabila membuat kerja-kerja yang biasa. Kerja yang tidak mungkin dilakukan oleh seorang presiden ataupun raja. Selalu kau menigingatkan dirimu; kau hanya anak yatim.
Pada awal pagi ada ketikanya kau berteleku dan duduk santai seadanya. Dalam tawaduk seorang suami, kau bertanyakan isteri, “Apakah ada apa-apa makanan pada hari ini?”
Kau diberitahu tidak ada apa-apa yang boleh dimasak, lalu kau katakana, hari itu kita berpuasa… kau tega seadanya. Syukur ketika berbuka dan sabar ketika berpuasa!
Dan pada ketika-ketika kau lewat pulang dan malam sudah bertandang, kau hamparkan kain ridakmu di hadapan pintu, lalu kau tidur di situ semalaman. Justeru, tidak mahu mengejutkan isterimu yang telah lena. Kau, sentiasa aman, dan sentiasa memberi keamanan. Esoknya, ketika isterimu memohon maaf dan menyatakan kekesalan, kau hanya tersenyum tanpa tercalar oleh sedebu pun rasa terkilan apa lagi kemarahan.

Sampai di situ saya terhenti. Teringat dialog saya dengan seorang pelancong Denmark, Johan Lundrup, yang ingin tahu tentang Nabi Muhammad sepuluh tahun yang lalu. Ketika itu kami duduk bersebelahan dalam penerbangan menuju Negeri Bawah Bayu – Sabah. Ketika saya ceritakan yang Nabi Muhammad pernah berlumba lari dengan isterinya Siti Aisyah, beliau berkata:
“Apa nak dihairankan, saya juga sentiasa berenang bersama-sama isteri saya.”
“Awak berenang dengan isteri di abad ke – 20. Ketika ini wanita telah mendapat haknya hamper di seluruh dunia. Ketika ini dunia dan masyarakat kita telah dipenuhi oleh lambakan cerita, filem dan kisah romantik.”
“Maksud awak?”
“Jangan lupa, hanya beberapa tahun sebelum Nabi Muhammad dan isterinya berlumba lari penuh romantic, bayi perempuan di sana dibunuh hidup-hidup. Wanita jadi barang dagangan. Wanita-wanita sewenang-wenangnya dilacurkan. Tidak pernah terbayangkan seorang wanita akan dilayan sebegitu baik…”
“Jadi?” Dia macam tidak puas hati.
“Jika nak digambarkan  bandingan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dengan manusia pada zamannya samalah seperti orang memandu kapal terbang ketika zaman orang masih menunggang kuda!”
Dia diam. Dalam hati saya masih tidak puas, justeru analogi itu pun sebenarnya masih jauh daripada hakikat kasih sayang Rasulullah yang sebenar.

Itu peristiwa lama. Tetapi ada lagi insiden yang terbaru. Setahun yang lalu, ketika isteri saya sakit, entah macam mana butang baju yang hendak saya pakai tertanggal. Isteri masih baring kesakitan. Hendak dikejutkan tidak sampai hati. Tetapi saya tidak perasan langsung di mana dia letakkan alat-alat menjahit. Di mana jarum? Benang? Barulah saya sedar betapa kerja-kerja kecil begitu telah tidak saya endahkan, kononnya sibuk dengan kerja-kerja besar. Apabila jarum dan benang dah ada, baru saya tahu betapa susahnya memasukkan benang ke lubang jarum, kemudian terkial-kial saya menjahit. Akhirnya puas nak menyimpul dan matikannya.

Ya Allah, benar-benar hebat kekasih-Mu Rasulullah, bukan sahaja atas keunggulannya mentadbir dan mengurus Negara, tetapi menguruskan hal-hal remeh dalam rumah tangga. Rasulullah telah membuat kerja-kerja yang kecil dengan jiwa yang besar. Tanpa mengira tempat, masa dan siapa Baginda. Hakikat itu mengingatkan saya pada makna ungkapan yang pernah say abaca :
Show me a man who cannot bother to do little things and I’ll show you a man who cannot be trusted to do big things.
Ah, pagi tadi baru saya mendengar kisah yang disampaikan oleh seorang mufti dalam rancangan Bicara Mufti, di RTM1. Seorang suami sanggup menceraikan isterinya dengan talak tiga hanya kerana isterinya enggan memasak untuknya pada siang hari bulan puasa. Oh, betapa jauhnya peribadi umat hari ini dengan akhlak Rasulullah. Kita (para suami) pun pernah tarik muka apabila isteri mengatakan nasi belum masak atau masakan yang disukai tidak disediakan olehnya. Misalnya, kita minta dibuat kari, dibuatnya gulai lemak. Itu pun sudah merajuk. Betapalah pula agaknya reaksi kita kalau dikatakan makanan langsung tiada. Bolehkah kita menjawab seperti Rasulullah, hari ini berpuasakah kita?

Apabila sekali-sekala balik lewat malam, mungkin kerana ada function atau balik dari tugas luar daerah (out station), bagaimana reaksi kita kalau isteri lambat buka pintu?
“Kenapa lambat?”
“Ingatkan abang balik esok.”
“Tapi tak kan tak dengar, abg bagi salam berkali-kali tadi.”
“Maaf, maaf, maaf ya bang…”
“Itulah, lain kali peka sikit. Bukan apa, abang letih, mengantuk, kaki lenguh, badan sakit-sakit. Tak kan itu pun awak tak boleh nak faham?”
“Maaf bang, maaf ya bang…”

Begitulah dialog antara suami isteri selalunya. Berkali-kali si isteri memohon maaf. Si suami rasa dialah yang benar. Terpaksa isteri memujuk, itu pun sudah dikira baik. Tidak ada herdikan atau sindiran. Mujur si isteri minta maaf. Sekiranya tidak, entahlah. Padahal Rasulullah SAW tidak begitu. Baginda yang rasa bersalah kalau pulang lewat malam. Tidak dikejutkan isterinya yang telah nyeyak tidur di dalam rumah. Rela baginda tidur di luar; di hadapan pintu. Masih adakah suami yang sebegitu pada hari ini?
Bayangkan ketika orang Arab Jahiliah menghenyak maruah wanita ke lembah terhina, Baginda menjulangnya ke tempat yang mulia. Baginda menegaskan syurga dibawah telapak kaki ibu, doa ibu lebih mustajab, tiga kali kasih kepada ibu berbanding ayah dan lain-lain.

Lalu kulanjutkan catatan ini…
Ketika Rasulullah pulang ke khemah dengan wajah suran dek keenganan sahabat-sahabatmu menyembelih korban dan ibadah haji ditangguhkan, tiba-tiba pandangan isterimu, Ummu Salamah memujukmu. Meminta kau dahulu menyembelih korban dan bercukur. Dengan rendah hari, fikiran terbuka kau menerima dan melaksanakannya.
Kaulah insan terbaik melayan wanita. Dengan kerendahan hati, dengan keterbukaan fikiran, dengan kelembutan perasaan, kau luruskan wanita yang  bagaikan “tulang rusuk” yang bengkok. Terlalu seni, tanpa calar, tanpa gurisan, a great man always willing to be little!

*Nukilan : Nota hati seorang lelaki. Utsz Pahrol Mohd Juoi. 2009

|

1 Comments


subhanallah....sungguh tinggi nilai akhlak Rasulullah s.a.w....lelaki zmn skrg sngt2 berbeza dengan sifat yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w.

Post a Comment

Copyright © 2009 FIRSHAMIRAH All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.