0
Posted by firdaus
on
3:46:00 PM
in
Pendidikan Khas
KANAK-KANAK BERKEPRLUAN KHAS
RAMAI orang yang beranggapan bahawa orang kurang
upaya (OKU) adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai kecacatan fizikal
seperti terencat akal, cacat anggota, pekak , bisu dan buta.
Tidak ramai yang mengetahui bahawa kanak-kanak yang
mengalami masalah pembelajaran adalah sebahagian daripada mereka yang
dikategorikan sebagai OKU di bawah masalah pembelajaran.
Secara amnya, terdapat enam kategori keperluan khas
di Malaysia yang layak didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
untuk mendapatkan kad OKU. Kategori tersebut ialah kurang upaya pendengaran,
penglihatan dan fizikal, cerebral palsi, masalah pembelajaran dan lain-lain.
Di bawah kategori masalah pembelajaran ini adalah
kumpulan kanak-kanak yang mengalami lewat perkembangan (Global Developmental
Delay) iaitu untuk kanak-kanak yang berusia kurang dari 3 tahun, kanak-kanak
Sindrom Down, autisma, kurang tumpuan dan hiperaktif - lebih dikenali sebagai
Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD), dan juga kanak-kanak terencat
akal (Intellectual impairment) yang berumur lebih dari 3 tahun.
Selain itu masalah pembelajaran spesifik seperti
dyslexia (kesukaran dalam menulis, mengeja dan membaca) dan dyscalculia (sukar
mengira) juga termasuk dalam kategori keperluan khas. Kebiasaannya, guru-guru
berhadapan dengan kanak-kanak yang sukar untuk mengikuti pembelajaran di
sekolah dan sebahagian daripada mereka dilabelkan sebagai bodoh, dungu, lembab
dan nakal kerana tingkahlaku mereka yang kadang-kala mengganggu kelas.
Ramai pelajar yang masih gagal menulis nama
sendiri, tidak mengenal warna dan bentuk, serta sering gagal melakukan kerja
sekolah kerana tidak faham soalan dan sebagainya. Ramai yang beranggapan
sekiranya kanak-kanak ini tidak dapat membaca, ianya adalah disebabkan mereka
malas dan tidak minat belajar.
Kebanyakan mereka akan diletakkan di kelas terakhir
dan diajar oleh guru-guru pemulihan. Guru-guru akan membantu pelajar ini sedaya
upaya agar mereka dapat belajar seperti pelajar lain.
Sesungguhnya mengajar di kelas pemulihan memerlukan
banyak kesabaran dan sedikit peningkatan dalam pembelajaran kanak-kanak ini
adalah satu kepuasan bagi guru-guru ini. Pun begitu, ramai juga guru-guru yang
kecewa setelah usaha mereka tidak menampakkan hasil.
Ini adalah titik permulaan di mana pelajar-pelajar
ini patut dirujuk kepada pakar psikiatri untuk penilaian seterusnya.
Ramai yang tidak mengetahui dan ramai yang juga
tertanya-tanya mengapa perlu dirujuk kepada pakar psikiatri sedangkan anak-anak
mereka normal dan tidak mengalami penyakit mental. Sebenarnya masalah
pembelajaran adalah salah satu masalah yang dilihat di klinik psikiatri.
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) adalah
salah satu hospital yang memberikan perkhidmatan ini.
Kebiasaannya, pelajar boleh dirujuk oleh guru-guru,
ibu bapa ataupun oleh doktor dari mana-mana klinik terus ke Unit Bimbingan
Kanak-kanak dan Remaja di Klinik Psikiatri. Penilaian asas oleh jururawat yang
terlatih ke atas pelajar-pelajar ini akan dilakukan pada sesi pertama.
Penilaian termasuklah ujian untuk mengetahui secara
kasar IQ (Intelligent Quotient) pelajar dan beberapa set soal selidik berkaitan
tingkah laku pelajar dan masalah pembelajaran. Seterusnya pelajar-pelajar ini
akan diberikan tarikh temujanji untuk bertemu doktor.
Kebiasaannya selepas penilaian dilakukan oleh
doktor dan disokong oleh laporan akademik pelajar dari pihak sekolah, sekiranya
ternyata mereka mempunyai masalah pembelajaran, pelajar ini akan dirujukkan ke
JKM untuk pendaftaran OKU dan ke Jabatan Pendidikan Negeri untuk penempatan
yang sesuai. Ini adalah amat perlu untuk memastikan mereka mendapat
pembelajaran yang lebih baik dalam konteks suasana belajar yang lebih selesa
berbanding dengan kelas biasa di mana rakan-rakan yang lain adalah pelajar yang
tidak mengalami masalah pembelajaran.
Pada masa yang sama, penilaian dari segi emosi juga
dilakukan kerana tidak dapat dielakkan pelajar yang mempunyai masalah
pembelajaran ini akan mengalami perasaan rendah diri atas kekurangan mereka dan
kemungkinan mengalami tekanan emosi.
Pun begitu, ada juga di kalangan ibu bapa yang
kurang bersetuju dengan status OKU dan tidak mahu anak-anak mereka dirujukkan
ke sekolah dengan pendidikan khas.
Ini adalah antara masalah yang dihadapi oleh doktor
dan kebiasaannya sebelum rujukan dibuat, perbincangan secara mendalam dengan
ibu bapa dijalankan agar mereka tidak salah anggap dan faham mengapa
kanak-kanak ini perlu dirujuk kepada pakar. Penting untuk doktor menerangkan
tentang kelebihan pendaftaran OKU ini, lagipun pihak kerajaan telah memberi
banyak peruntukan untuk OKU. Sementara itu, kanak-kanak ini akan dirujukkan ke
unit pemulihan cara kerja untuk penilaian lanjut oleh jurupulih cara kerja di
HUSM.
Selepas penilaian, jurupulih cara kerja yang memang
terlatih dengan masalah pembelajaran ini akan melakukan terapi yang bersesuaian
kepada pelajar-pelajar ini.
Kebiasaannya, mereka akan dikenalpasti mengalami
masalah seperti sensori integrasi dan pengamatan yang menyebabkan mereka
mengalami kesukaran dalam pembelajaran di dalam bilik darjah. Latihan di unit
ini perlu dilakukan secara berkala untuk memastikan keberkesanan terapi.
Pada masa yang sama, pelajar berkenaan akan dirujuk
ke unit pertuturan sekiranya mempunyai masalah pertuturan dan unit-unit lain
yang berkaitan sekiranya perlu. Ini adalah satu rawatan yang komprehensif untuk
kanak-kanak dengan masalah pembelajaran.
Di sini jelas menunjukkan bahawa masalah
pembelajaran bukanlah satu masalah yang mudah tetapi ianya adalah satu masalah
yang memerlukan kerjasama dari banyak pihak untuk memastikan pelajar ini
mendapat peluang belajar sebagaimana pelajar normal yang lain.
Post a Comment