1
Rasul Sebagai Suami
Posted by firdaus
on
2:03:00 PM
Rasul Sebagai Suami
Puas, kukerah dan
kuperah akal dan hati namun jangkauan rasa dan minda tetap tidak kesampaian. Ya,
aku kerdil dan dosa ini terasa begitu hina walaupun sekadar untuk memujimu. Sinar
peribadimu terlalu agung untuk dipantulkan pada cermin hatiku….
Sungguh kehebatanmu
tidak mampu kugambarkan. Namun kugagahi jua, dengan berbekal seuntai selawat
kecatatkan memori seorang suami meneladani isteri. Tetapi suami bukan sebarang
suami, suami ini ialah Rasulullah SAW.
Betapa
romantiknya kau ketika berlari-lari dengan si Humaira’ itu. Berlumba penuh
ceria malam itu di padang pasir yang dingin. Malam itu menjadi saksi ketika kau
kalahkan dia dalam senyum tawamu. “Ini balasan yang dulu,” ujarmu sambil
tersenyum mengimbau nostalgia ketika kau dikalahkan olehnya pada awl
perkahwinan.
Pada ketika
tertentu, kau jahit sepatumu yang robek dan bajumu yang koyak. Ah, tidak dapat
dibayangkan betapa Rasul pilihan itu menjadi semakin luar biasa apabila membuat
kerja-kerja yang biasa. Kerja yang tidak mungkin dilakukan oleh seorang
presiden ataupun raja. Selalu kau menigingatkan dirimu; kau hanya anak yatim.
Pada awal pagi
ada ketikanya kau berteleku dan duduk santai seadanya. Dalam tawaduk seorang
suami, kau bertanyakan isteri, “Apakah ada apa-apa makanan pada hari ini?”
Kau diberitahu
tidak ada apa-apa yang boleh dimasak, lalu kau katakana, hari itu kita berpuasa…
kau tega seadanya. Syukur ketika berbuka dan sabar ketika berpuasa!
Dan pada
ketika-ketika kau lewat pulang dan malam sudah bertandang, kau hamparkan kain
ridakmu di hadapan pintu, lalu kau tidur di situ semalaman. Justeru, tidak mahu
mengejutkan isterimu yang telah lena. Kau, sentiasa aman, dan sentiasa memberi
keamanan. Esoknya, ketika isterimu memohon maaf dan menyatakan kekesalan, kau
hanya tersenyum tanpa tercalar oleh sedebu pun rasa terkilan apa lagi
kemarahan.
Sampai di situ
saya terhenti. Teringat dialog saya dengan seorang pelancong Denmark, Johan
Lundrup, yang ingin tahu tentang Nabi Muhammad sepuluh tahun yang lalu. Ketika itu
kami duduk bersebelahan dalam penerbangan menuju Negeri Bawah Bayu – Sabah. Ketika
saya ceritakan yang Nabi Muhammad pernah berlumba lari dengan isterinya Siti
Aisyah, beliau berkata:
“Apa nak
dihairankan, saya juga sentiasa berenang bersama-sama isteri saya.”
“Awak berenang
dengan isteri di abad ke – 20. Ketika ini wanita telah mendapat haknya hamper di
seluruh dunia. Ketika ini dunia dan masyarakat kita telah dipenuhi oleh
lambakan cerita, filem dan kisah romantik.”
“Maksud awak?”
“Jangan lupa,
hanya beberapa tahun sebelum Nabi Muhammad dan isterinya berlumba lari penuh romantic,
bayi perempuan di sana dibunuh hidup-hidup. Wanita jadi barang dagangan. Wanita-wanita
sewenang-wenangnya dilacurkan. Tidak pernah terbayangkan seorang wanita akan
dilayan sebegitu baik…”
“Jadi?” Dia macam
tidak puas hati.
“Jika nak
digambarkan bandingan kasih sayang yang
ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dengan manusia pada zamannya samalah seperti
orang memandu kapal terbang ketika zaman orang masih menunggang kuda!”
Dia diam. Dalam hati
saya masih tidak puas, justeru analogi itu pun sebenarnya masih jauh daripada
hakikat kasih sayang Rasulullah yang sebenar.
Itu peristiwa
lama. Tetapi ada lagi insiden yang terbaru. Setahun yang lalu, ketika isteri
saya sakit, entah macam mana butang baju yang hendak saya pakai tertanggal. Isteri
masih baring kesakitan. Hendak dikejutkan tidak sampai hati. Tetapi saya tidak
perasan langsung di mana dia letakkan alat-alat menjahit. Di mana jarum?
Benang? Barulah saya sedar betapa kerja-kerja kecil begitu telah tidak saya
endahkan, kononnya sibuk dengan kerja-kerja besar. Apabila jarum dan benang dah
ada, baru saya tahu betapa susahnya memasukkan benang ke lubang jarum, kemudian
terkial-kial saya menjahit. Akhirnya puas nak menyimpul dan matikannya.
Ya Allah,
benar-benar hebat kekasih-Mu Rasulullah, bukan sahaja atas keunggulannya
mentadbir dan mengurus Negara, tetapi menguruskan hal-hal remeh dalam rumah tangga.
Rasulullah telah membuat kerja-kerja yang kecil dengan jiwa yang besar. Tanpa mengira
tempat, masa dan siapa Baginda. Hakikat itu mengingatkan saya pada makna
ungkapan yang pernah say abaca :
“Show me a man who cannot bother
to do little things and I’ll show you a man who cannot be trusted to do big
things.”
Ah, pagi tadi
baru saya mendengar kisah yang disampaikan oleh seorang mufti dalam rancangan
Bicara Mufti, di RTM1. Seorang suami sanggup menceraikan isterinya dengan talak
tiga hanya kerana isterinya enggan memasak untuknya pada siang hari bulan
puasa. Oh, betapa jauhnya peribadi umat hari ini dengan akhlak Rasulullah. Kita
(para suami) pun pernah tarik muka apabila isteri mengatakan nasi belum masak
atau masakan yang disukai tidak disediakan olehnya. Misalnya, kita minta dibuat
kari, dibuatnya gulai lemak. Itu pun sudah merajuk. Betapalah pula agaknya
reaksi kita kalau dikatakan makanan langsung tiada. Bolehkah kita menjawab
seperti Rasulullah, hari ini berpuasakah kita?
Apabila
sekali-sekala balik lewat malam, mungkin kerana ada function atau balik dari
tugas luar daerah (out station), bagaimana reaksi kita kalau isteri lambat buka
pintu?
“Kenapa lambat?”
“Ingatkan abang
balik esok.”
“Tapi tak kan tak
dengar, abg bagi salam berkali-kali tadi.”
“Maaf, maaf, maaf
ya bang…”
“Itulah, lain
kali peka sikit. Bukan apa, abang letih, mengantuk, kaki lenguh, badan sakit-sakit.
Tak kan itu pun awak tak boleh nak faham?”
“Maaf bang, maaf
ya bang…”
Begitulah dialog
antara suami isteri selalunya. Berkali-kali si isteri memohon maaf. Si suami
rasa dialah yang benar. Terpaksa isteri memujuk, itu pun sudah dikira baik. Tidak
ada herdikan atau sindiran. Mujur si isteri minta maaf. Sekiranya tidak, entahlah.
Padahal Rasulullah SAW tidak begitu. Baginda yang rasa bersalah kalau pulang
lewat malam. Tidak dikejutkan isterinya yang telah nyeyak tidur di dalam rumah.
Rela baginda tidur di luar; di hadapan pintu. Masih adakah suami yang sebegitu
pada hari ini?
Bayangkan ketika
orang Arab Jahiliah menghenyak maruah wanita ke lembah terhina, Baginda
menjulangnya ke tempat yang mulia. Baginda menegaskan syurga dibawah telapak
kaki ibu, doa ibu lebih mustajab, tiga kali kasih kepada ibu berbanding ayah dan
lain-lain.
Lalu kulanjutkan
catatan ini…
Ketika Rasulullah
pulang ke khemah dengan wajah suran dek keenganan sahabat-sahabatmu menyembelih
korban dan ibadah haji ditangguhkan, tiba-tiba pandangan isterimu, Ummu Salamah
memujukmu. Meminta kau dahulu menyembelih korban dan bercukur. Dengan rendah
hari, fikiran terbuka kau menerima dan melaksanakannya.
Kaulah insan terbaik melayan wanita. Dengan kerendahan
hati, dengan keterbukaan fikiran, dengan kelembutan perasaan, kau luruskan
wanita yang bagaikan “tulang rusuk” yang
bengkok. Terlalu seni, tanpa calar, tanpa gurisan, a great man always willing
to be little!
*Nukilan : Nota hati seorang lelaki. Utsz Pahrol Mohd
Juoi. 2009