0
Tazkirah RAMADHAN
Posted by firdaus
on
1:06:00 PM
KUALITI HATI PADA
KEMANISAN IMAN
Kata pujangga, hidup dimulakan dengan
tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri dengan tangisan.
Maksudnya hidup ini penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan.
Lihatlah betapa seorang bayi dilahirkan ke dunia dengan tangisan,
apabila dewasa nanti hidupnya akan dicelahi oleh tangisan dan
akhirnya dia akan mati lalu dihantar ke kubur dengan tangisan juga.
Mereka yang pesimis dengan hidup sering
mengatakan bahawa hidup hanyalah untuk menyelesaikan masalah (life
is to solve problems). Sebaik selesai satu masalah, masalah baru
akan menjelma. Tidak lebih daripada itu. Malah ada yang lebih pesimis
lagi dengan mengatakan hidup hanyalah untuk menderita!
Itu bukan sikap seorang Muslim. Jika
kita mengutuk hidup bererti kita mengutuk Penciptanya (Allah).
Sedangkan Allah tidak menjadikan hidup ini untuk menderita. Maha suci
Allah, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hakikatnya, kita
diciptakan untuk menikmatinya dan kemudian pulang ke akhirat untuk
merasai kenikmatan yang abadi. Tetapi kita mesti berjuang untuk itu.
Jadi, hidup sebenarnya untuk berjuang, bukan untuk menderita.
Berjuang untuk menikmati kebahagian yang sementara demi mencapai
kebahagian yang abadi!
Hidup di dunia ini penting kerana
adanya akhirat. Jadi, kita mesti memanfaatkan kehidupan di dunia
sebagai jambatan kebahagian di akhirat. Hukama ada berpesan, dunia
diciptakan untuk manusia, manusia diciptakan untuk akhirat. Soalnya,
bagaimana memanfaatkan kehidupan dunia ini untuk akhirat? Apa yang
perlu kita cari dan perjuangkan dalam kehidupan yang sementara ini?
Dalam hidup yang sementara ini, kita
dituntut mencari hati yang sejahtera (qalb salim). Inilah
kualiti hidup yang perlu dicari dan dinikmati. Dan ini jugalah
“syurga dunia” sebelum syurga akhirat. Malangnya ramai yang
pentingkan kuantiti harta berbanding kualiti jiwa. Siang malam,
manusia bertungkus-lumus menumpuk harta tanpa mempedulikan kesucian
jiwa. Rumah semakin besar tetapi jiwa semakin sempit. Harta semakin
melimpah tetapi hati semakin sakit.
Kualiti jiwa yang rendah menyebabkan
timbulnya sifat mazmumah. Ini akan menimbulkan masalah kepada
pemiliknya dan orang lain. Sifat marah, dendam, sombong, iri hati,
hasad dengki dan sebagainya membunuh ketenangan dalam diri. Ini
menyebabkan penyakit-penyakit lahiriah seperti darah tinggi, lemah
jantung, ulser, kanser, diabetes dan lain-lain. Hubungan antara
kesihatan hati (psikologi) dengan fisiologi ini telah lama
diakui oleh pakar-pakar perubatan.
Tanpa ketenangan tidak ada gunanya
kesenangan. Harta, wang, kuasa dan pangkat tidak boleh ditukar ganti
dengan ketenangan jiwa. Sebaliknya kekurangan harta, rendahnya
jawatan atau pangkat, dapat ditampung oleh ketenangan jiwa.
Orang miskin yang sabar masih boleh
menikmati kehidupan yang tidak boleh dinikmati oleh orang kaya yang
ego. Sebaliknya, tanpa sifat qanaah, si hartawan sekalipun akan terus
terseksa oleh kemiskinan jiwanya. Itulah yang dimaksudkan oleh
Rasulullah saw melalui sabdanya yang bermaksud: “Bukanlah
kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang
sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa.” (Muttafaq 'alaihi)
Ada enam perkara yang sangat penting
dan kritikal dalam kehidupan manusia. Jika keenam-enam perkara itu
stabil, maka stabillah seluruh kehidupan. Perkara-perkara itu ialah
kesihatan, kewangan, kejayaan, ilmu pengetahuan, perhubungan dan
kekeluargaan. Jika semua perkara itu dapat dicapai dan berada dalam
keadaan stabil, maka kehidupan juga akan stabil.
Sungguhpun begitu, dalam realiti
kehidupan adalah sangat sukar untuk mencapai kestabilan dalam semua
perkara itu. Jarang benar ada orang yang dapat mencapai semuanya. Ada
yang kaya tetapi kesihatan terganggu. Ada pula kesihatannya baik
tetapi ada masalah dengan perhubungan sesama anggota masyarakat.
Begitulah lumrah dunia, tidak ada
seorang manusia pun yang memiliki segala-galanya. Jika demikian,
apakah jalan keluar kita untuk mencapai kestabilan dalam hidup?
Jawabnya, kuatkanlah iman. Ini kerana iman akan dapat menampung
kekurangan dalam perkara-perkara yang lain. Jika seorang itu miskin,
sakit, berpangkat rendah dan lain-lain kekurangan, maka iman akan
menampung kekurangan-kekurangan itu dengan sifat sabar, reda, qanaah,
lapang dada dan tawakal.
Namun tanpa iman, segala kelebihan yang
dimiliki tidak berguna. Tanpa iman, si kaya akan tamak dan tidak akan
berasa cukup dengan kekayaannya, yang berkuasa akan menindas dan
menzalimi, yang sihat akan lupa diri dan melakukan kejahatan, yang
banyak ilmu akan angkuh dan menghina orang lain.
Semua ini akan mengundang kebencian,
rasa tidak puas hati, kemarahan dan kedengkian sesama manusia yang
akhirnya akan menimbulkan krisis antara si miskin dengan si kaya,
yang berkuasa dengan rakyat jelata, buruh dengan majikan dan
lain-lain. Tegasnya, kualiti jiwa yang rendah (tanpa iman)
itulah yang mencetuskan kemusnahan dalam hidup manusia. Dan untuk
mengatasinya, tidak ada jalan lain kecuali dengan meningkatkan
kualiti hati!
Mengapa soal hati sangat penting? Hati
adalah kuasa penggerak dalam diri manusia. Jika hati dikuasai
kebenaran, nescaya ia akan menjana kebaikan. Sebaliknya, jika hati
dipenuhi kebatilan, ia akan melahirkan kejahatan. Hati yang dipenuhi
kebaikan dan kebenaran ialah hati yang berkualiti. Ia mampu
menghadapi apa juga cabaran atau masalah dalam hidup. Manakala hati
yang dikuasai kejahatan dan kebatilan ialah hati yang lemah. Ia akan
goyah mengahadapi masalah dan cabaran dalam hidup.
Apabila hati tidak berkualiti, segala
yang dilihat, difikir, dirasa dan dibuat serba tidak kena dan tidak
puas. Yang kaya, berkuasa dan ternama akan terus memburu kekayaan,
keseronokan dan hiburan sehingga sanggup menempuh jalan yang salah
untuk mencapai maksud yang tidak pernah puas. Mereka ini umpama
meminum air laut, makin diminum semakin haus. Atau memburu
fatamorgana bahang yang sangat panas disangka air.
Orang Mukmin itu memiliki keajaiban
dalam kehidupan. Apabila mendapat nikmat, dia akan bersyukur. Apabila
ditimpa musibah, dia mendapat hikmah. Semuanya dirasakan indah belaka
kerana dia sudah mendapat “halawatul iman” (kemanisan iman).
Kemanisan iman itulah yang akan mencukupkan segala macam bentuk
keperluan manusia sama ada keperluan dalam bentuk kebendaan,
pemikiran, perasaan dan kejiwaan.
Apa itu kemanisan iman? Ia adalah satu
rasa tenang bahagia dan aman dalam jiwa seseorang hasil keyakinannya
yang tinggi kepada Allah, al-kitab, Rasul dan lain-lain rukun iman.
Ia adalah kemanisan yang bersifat maknawi yakni tidak dapat dirasai
dengan pancaindera tetapi hanya dapat dirasai oleh hati. Orang yang
telah merasai kemanisan iman akan merasai keindahan dalam melakukan
ketaatan dan bahagia ketika meninggalkan kejahatan. Apabila musibah
melanda, mampu sabar dan redha. Bahkan dia sanggup mati demi menemui
kecintaanya (Allah).
Tidak ada rasa sukar, penat, bosan,
rugi dan lain-lain dalam diri orang yang telah merasai kemanisan
iman. Ia sesungguhnya mengatasi segala kemanisan duniawi. Mereka
yakin bahawa apa-apa jua yang ditakdirkan oleh Allah adalah baik
belaka. Dan hasil keyakinan itu mereka mampu menukar segala yang
buruk menjadi kebaikan, segala kekurangan menjadi kelebihan, segala
yang pahit menjadi penawar dan segala yang kotor menjadi bersih dan
jernih. Dalam jiwa mereka seolah-olah ada penapis yang mampu menapis
segala yang negatif menjadi positif.
Post a Comment