0

Tazkirah Ramadhan Bhg2

Posted by firdaus on 2:29:00 PM


TIADALAH KEHIDUPAN DUNIA INI, 
SELAIN DARI MAIN-MAIN DAN SENDA GURAU BELAKA

Tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Semakin kita terima hakikat ini, hidup kita akan menjadi semakin tenang. Jika tidak, kita akan sentiasa rasa marah, kecewa, dipersenda dan ditipu oleh manusia lain dan keadaan. Sebaliknya, apabila kita mula menerima hakikat dunia memang tidak adil, maka hidup kita akan menjadi lebih tenang dan harmoni.

Mengapa di dunia ini tidak ada keadilan yang mutlak? Yang baik, tidak semestinya mendapat ganjaran dan balasan yang baik. Manakala yang jahat, acap kali terlepas dan bebas. Ya, inilah keadaan Allah menguji manusia, agar terserlah siapa yang benar-benar ikhlas berbuat baik kerananya dan siapa pula yang benar-benar meninggalkan kejahatan kerananya jua. Inilah ujian iman.

Menerusi pengajian tauhid, yakni dalam mengenal sifat-sifat Allah, memang kita telah sedia maklum bahawa Allah swt akan memberi dan menunjukkan sifat keadilannya secara mutlak dan tuntas di akhirat nanti. Manakala, di dunia ini Allah tidak menunjukkan sifat keadilannya secara sepenuhnya dan menyeluruh sebagai ujian kepada orang-orang yang beriman kepadanya.

Lihat bagaimana Nabi Zakaria as, Nabi Yahya as dan beberapa nabi yang lain telah dibunuh oleh musuh-musuh. Sekiranya kita sebagai suami, isteri, ibu bapa, anak-anak, pemimpin, pengikut menerima layanan atau balasan yang tidak adil, biasalah. Inilah hakikat dan lumrah hidup yang mesti ditempuh. Jangan mencari ‘serba kena’ kerana hidup dipenuhi oleh resam yang “serba tidak kena”.

Sekiranya kita berbuat baik kerana mengharapkan ganjaran, pembalasan dan ucapan terima kasih daripada manusia, tentu kita akan kecewa kerana umumnya manusia memang tidak pandai berterima kasih, apa lagi untuk membalas budi. Memang, buat baik dibalas baik, tetapi bukan semua kebaikan dibalas di sini (dunia); ada yang Allah simpan di sana (akhirat).

Justeru, apabila Allah menyuruh manusia melakukan kebaikan atau meninggalkan kejahatan, Allah akan menyeru kepada manusia yang beriman dengan lafaz, “Ya ayyuhal lazi na amanu – wahai orang yang beriman.” Begitu juga apabila Rasulullah saw menyeru untuk umatnya melakukan kebaikan, baginda sering memulakannya dengan berkata, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah…”

Banyak hikmahnya mengapa Allah dan Rasulnya berbuat demikian. Salah satunya adalah untuk menunjukkan bahawa mereka yang mahu dan mampu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dengan ikhlas, sabra dan istiqamah hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yakni, mereka yang yakin bahawa Allah maha melihat akan perbuatan itu dan membalasnya dengan ganjaran atau seksa yang setimpal.

Impak daripada itu, manusia yang beriman akan menghadapi hidup ini dengan lebih tenang. Tidak banyak merungut, merengus dan marah-marah. Jika madu dibalas tuba, mereka mampu sabra dan redha. Apabila mendapat “limau masam”, mereka akan segera membuat “air limau”. Maknanya, sekiranya apa yang mereka terima sebagai balasan tidak seperti yang diharapkan dan dijangkakan, mereka tidak “memberontak”, sebaliknya mereka mengubah hati, fikiran dan perasaan mereka untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan baik.

Apabila inginkan kejayaan, tetapi sebaliknya kegagalan yang berlaku… mereka akan berkata, “Tidak mengapa, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan. Kegagalan adalah “kejayaan” yang ditangguhkan. Orang Berjaya lebih banyak merasai kegagalan daripada orang yang gagal.” Mereka tidak mengutuk orang lain, keadaan, diri mereka sendiri, apalagi mempersalahkan Tuhan. Mereka tidak akan menyesal dan kesal terhadap apa yang berlaku, sebaliknya mencari tapak dan semangat baharu untuk berusaha dengan lebih baik. Lalu dalam kamus orang Berjaya sering tertera pengukuhan kata-kata ini: “Kegagalan adalah peluang untuk memulakan semula dengan lebih baik!”

Orang yang telah menerima hakikat dunia ini tidak adil, tidak akan bermusuh dengan dirinya sendiri. Dia tidak menerima dirinya dengan kejam. “Mengapa aku bodoh sangat?” “Mengapa aku lurus bendul?” “Mengapa aku boleh tertipu?” ini bukan langkah muhasabah yang membangunkan jiwa serta proaktif, tetapi satu self proaktif habit - tabiat mensabotaj diri sendiri. Tabiat ini menyebabkan diri menjadi pasif, pesimis atau murung. Kemudian keburukan dari dalam diri itu akan meletus keluar menjadikan dirinya sebagai toxic people yang bersifat agresif, bersangka buruk dan marah-marah kepada orang lain.


Dalam surah al-Fatihah, Allah menegaskan bahawa Dialah Raja pada Hari Akhirat. Kalimat ini kita ulang-ulang baca pada setiap hari tidak kurang 17 kali. Semoga makna atau kehendak daripada kalimat ini meresap dalam minda sedar dan separa sedar kita, bahawa Allah akan menunjukkan kebesaran sifat maliknya di akhirat, yang pada waktu itu tidak aka nada siapa yang berani mengangkat muka atau berkata-kata.

|

0 Comments

Post a Comment

Copyright © 2009 FIRSHAMIRAH All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.