0
Posted by firdaus on 8:46:00 PM in


PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI

Pengenalan
Pendidikan merupakan agenda utama pembangunan sesebuah Negara dan sistem pendidikan yang baik mampu memberikan pendidikan kepada semua. Oleh itu, pendidikan yang khusus dan bersesuaian dengan keperluan dan kebolehan kanak-kanak yang pelbagai juga perlu disediakan. Pendidikan khas adalah pendidikan yang direka cipta dan dirancang untuk kanak-kanak istimewa.

Di Malaysia, pendidikan pemulihan khas telah disediakan untuk membantu murid mengatasi masalah kelemahan menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Tanpa bantuan, mereka akan gagal membina keyakinan diri untuk belajar dan mencari pengalaman dalam memasuki alam pekerjaan. Bagi mengelakkan pembaziran dalam pendidikan, penerokaan lebih awal terhadap bentuk pendidikan pemulihan yang lebih berkesan amat diperlukan untuk membantu murid yang lemah meningkatkan potensi diri mereka supaya  mampu menjadi warganegara yang berguna pada masa hadapan. Agensi yang terlibat dalam pembangunan warga istimewa di Malaysia ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia.(Jamila K.A Mohemed, 2005).

Murid khas ataupun kanak-kanak yang istimewa merupakan sekumpulan murid yang kurang upaya dan mengalami masalah pembelajaran. Mereka memerlukan pendidikan dan perkhidmatan khusus bagi memperkembangkan potensi dan kemajuan kendiri. Pendidikan khas merujuk kepada pengajaran yang direka khas bagi melengkapkan keperluan seseorang kanak-kanak yang luar biasa dan memerlukan bahan-bahan pengajaran khas, teknik pengajaran yang luar biasa serta kemudahan-kemudahan yang tertentu (Hallahan & Kauffman, 1986).

Pendidikan khas juga merupakan pendidikan yang menyediakan keperluan pendidikan khas murid (Akta Pendidikan, 1996). Sekolah khas pula ialah sekolah yang menyediakan pendidikan khas yang ditetapkan melalui peraturan-peraturan di bawah Seksyen 41.


Latar Belakang Kurikulum Pendidikan Khas
Falsafah pendidikan khas ialah satu usaha yang berterusan untuk menggalakkan perkembangan optima seseorang individu sebagai seorang yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Jabatan Pendidikan Khas, 2005).

Visi pendidikan khas ialah dengan memberikan pendidikan yang berkualiti bagi menjana murid berkeperluan khas selaras dengan sistem pendidikan kebangsaan manakala misinya ialah dengan membangunkan modal insan yang cemerlang berasaskan empat prinsip iaitu sistem pendidikan yang berkualiti, relevan dan menyeluruh. Kedua, perkembangan potensi diri ke tahap yang optimum, keupayaan berdaya saing dan kebolehpasaran dan perkongsian pintar dengan pelbagai pihak.

Objektif pendidikan khas ini pula menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan khas untuk murid-murid dengan keperluan khas, menyediakan pendidikan yang sesuai dan relevan kepada setiap murid dengan keperluan asas, menyediakan peluang untuk mengembangkan bakat dan potensi murid dengan keperluan khas, menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi dan terkini dan memastikan tenaga pengajar yang mencukupi dan terlatih dalam bidang pendidikan khas. Selain itu, objektif pendidikan khas juga adalah untuk menguasai kemahiran asas 3M, meneruskan pembelajaran di kelas biasa dan membina keyakinan diri dan positif terhadap pembelajaran (Jabatan Pendidikan Khas, 2008).

Program pendidikan khas dapat di definisikan sebagai suatu program yang di sediakan di sekolah khas bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan  ataupun pendengaran. Ia juga adalah suatu program pencantuman di sekolah biasa bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan atau kecacatan pendengaran atau masalah pembelajaran. Selain itu program ini juga adalah suatu program inklusif bagi murid-murid dengan keperluan khas yang dapat menghadiri di dalam kelas biasa bersama murid-murid biasa.


Program pendidikan khas dilaksanakan melalui Sekolah Khas bagi murid bermasalah pendengaran dan penglihatan. Program ini diwujudkan di sekolah harian biasa serta sekolah teknik dan vokasional yang menggunakan pendekatan pengajaran pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif. Tempoh belajar minimum bagi keperluan pendidikan khas di sekolah rendah adalah selama enam tahun manakala tempoh minimum sekolah  menengah pendidikan khas selama lima tahun.

Kurikulum Pendidikan Khas
Pendidikan khas Kementerian Pendidikan Malaysia dilaksanakan melalui  Sekolah Khas bagi murid bermasalah penglihatan dan bermasalah pendengaran, serta Program Pendidikan Khas Integrasi yang disediakan untuk murid-murid berkeperluan khas bermasalah pembelajaran, bermasalah pendengaran dan bermasalah penglihatan. Ia diwujudkan di sekolah harian biasa rendah dan menengah dan sekolah menengah teknik dan vokasional yang menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif.

Dari segi kurikulum, murid Pendidikan Khas menjalankan aktiviti kokurikulum seperti murid biasa. Kurikulum yang digunakan di sekolah-sekolah pendidikan khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi ialah kurikulum kebangsaan dan kurikulum alternatif. Mengikut Akta Pendidikan 1996; Pendidikan (Peraturan Kurikulum Kebangsaan) 1997 mendefinisikan Kurikulum Kebangsaan sebagai;
“Program pendidikan yang merangkumi aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang mencakupi semua ilmu pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, elemen budaya dan kepercayaan untuk membantu mengembangkan murid sepenuhnya dari aspek fizikal, rohani, mental dan emosi serta memupuk dan memperkembangkan nilai murni yang diingini serta untuk menyebarkan ilmu pengetahuan”  
(Akta Pendidikan 1996)


Bagi  kumpulan murid dalam spektrum ketidakupayaan yang ringan, sederhana  dan teruk dengan pelbagai tahap kefungsian daripada yang tinggi hingga rendah, telah digubal satu kurikulum khas untuk mereka iaitu Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP). Kurikulum ini digubal berasaskan kepelbagaian keupayaan individu berkeperluan khas yang tidak dapat menerima manfaat daripada program pendidikan arus perdana. Rekabentuk kurikulum yang dibina adalah bersifat fleksibel bagi membolehkan guru mengembangkan bakat dan potensi sedia ada.

Dalam konteks Malaysia kanak-kanak berkeperluan khas, ia menekankan kepada kebolehan, kefungsian, kemahiran, perkembangan, penguasaan dan pencapaian kanak-kanak tersebut dalam kemahiran-kemahiran pengembangan (developmental skills). Maka adalah penting untuk menyediakan kurikulum yang bersesuaian dengan tahap kemahiran dan pengetahuan kanak-kanak tersebut. Hal ini selaras dengan matlamat pendidikan khas di Malaysia iaitu untuk memberi kesinambungan program yang bermutu bagi memenuhi keperluan dan kebolehan khusus kepada kanak-kanak berkeperluan khas dalam persekitaran (suasana) biasa.

Kurikulum Pendidikan Khas bermatlamat untuk menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel untuk memenuhi keperluan individu dengan pelbagai tahap keupayaan ke arah kehidupan bermakna. Selain itu, kurikulum ini juga menetapkan satu bentuk pengajaran yang tidak terikat, iaitu aktiviti-aktiviti pembelajaran boleh dibentuk mengikut keperluan dan keupayan murid melalui bidang - bidang seperti pengurusan kehidupan, akademik berfungsi, kerohanian dan nilai - nilai murni, serta sosial, riadah dan kreativiti.

Dalam setiap bidang utama tersebut, masing-masing terdapat komponen-komponen
kecil seperti berikut:
a) Bidang Pengurusan Diri
- Komponen Pengurusan Diri
- Komponen Kemahiran Manipulatif
- Komponen Pengurusan Tingkah laku
- Komponen Kemahiran Hidup
b) Bidang Akademik Berfungsi
a. Komponen Bahasa Melayu
b. Komponen Matematik
c. Komponen Bahasa Inggeris
d. Komponen Multimedia
c) Bidang Kerohanian dan Nilai-Nilai Murni
a. Komponen Pendidikan Agama Islam
b. Komponen Pendidikan Moral
d) Bidang Sosial, Riadah dan Kreativiti
a. Komponen Pendidikan Jasmani
b. Komponen Pendidikan Seni
c. Komponen Pendidikan Muzik, Gerakan dan Drama
d. Komponen Sains, Sosial dan Alam Sekitar.

Melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel dan bersepadu diharapkan dapat melahirkan individu yang memiliki ciri-ciri seperti mampu berdikari, berdisiplin dan bersikap positif, bermoral dan beretika, berkemahiran dan berketerampilan, serta produktif dan boleh menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan Negara. Hasil pembelajaran tersebut adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Khas (FPK) iaitu, “Ia menyediakan perkembangan optimum kanak-kanak dengan keperluan-keperluan pendidikan khas agar dapat berfungsi sebagai individu yang berkemahiran, berdikari, berhaluan, boleh merancang, mengurus kehidupan sendiri, boleh menyedari potensi sendiri dan boleh menyesuaikan diri dalam masyarakat”



Gambar Kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (SKTTA 1)



|

0 Comments

Post a Comment

Copyright © 2009 FIRSHAMIRAH All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.