1
JANGAN BERTASBIHKAN CINTA!!
Posted by firdaus
on
10:49:00 AM
Secara tabiinya, kita perlu kenal baru cinta tetapi kini sudah ramai yang cinta dulu baru kenal. Akibatnya timbullah penyesalan yang tidak sudah-sudah. Akibatnya salah pilih, suami atau isteri yang disangka boleh memberi bahagia, rupa-rupanya menempah derita!
Tidak mengapa kalau kita berkenalan dahulu terus berkahwin dan kemudian bercinta. Seperti Khadijah yang kenal kebaikan Rasulullah saw dahulu melalui orang kepercayaannya Maisarah, terus meminang Rasulullah saw, berkahwin dan kemudian baru bercinta.
Untuk kenal orang baik, perlulah menerusi orang baik. Hanya orang baik yang mengenal orang baik yang lain, sepertimana Hanya jauhari mengenal manikam.
Tidak mengapa sekiranya perkahwinan tidak dimulakan oleh satu percintaan tetapi mesti didahului oleh satu perkenalan. Apa yang perlu kita kenal? Tidak lain tidak bukan, yang paling kita mesti kenal keseriusannya dalam beragama. Bila agama kukuh, ertinya cintakan Allah dalam diri seseorang juga kukuh. Itulah modal untuk membina kebahagian dalam rumah tangga.
Cinta Allah itu adalah sumber untuk mencintai segala dan semua. Iman kepada Allah dan kasih sayang sesama manusia sangat erat keterkaitannya. Ramai pasangan suami isteri yang terlibat dengan perkahwinan yang tidak dimulakan dengan cinta, berjaya juga membina kebahagiaan rumah tangga kerana kekukuhan kedua-duanya mencintai agama. Hal ini kerana perkahwinan itu sendiri telah memulakan cinta suci mereka.
Cinta itu bukan tujuan, cinta hanya jalan. Bukan hanya ada satu jalan untuk mencapai tujuan.. ada berbagai jalan. Hakikat ini bukan menafikan keperluan cinta untuk membina kebahagiaan rumah tangga, tetapi cinta itu bukan yang pertama dan paling utama untuk mencapai rumah tangga yang bahagia.
Menurut ajaran Islam, ada elemen-elemen yang lebih utama daripada cinta yang perlu dititikberatkan sebelum, semasa dan sepanjang perkahwinan. Perkara-perkara utama ini semuanya dituntut oleh Allah untuk disempurnakan bagi memastikan cinta, kasih sayang, tanggungjawab, peranan dan tugasan rumah tangga itu sentiasa terbina di atas tapak iman.
Antara prinsip itu ialah niat, matlamat, perlaksanaan, modus operandi dan natijah perkahwinan itu mestilah selaras dengan kehendak Allah. Oleh sebab itu apabila rumah tangga bergoncang, semaklah semua niat berkahwin dahulu. Apakah masih kerana Allah? Atau sudah tersasar tanpa sedar? Akibat hebatnya cabaran, masalah dan godaan yang telah melanda alam rumah tangga solat lima waktu telah terabai, pembaziran berleluasa, hiburan telah melampau dan pelbagai suruhan dan tegahan Allah sudah dipinggirkan?
Kalau demikian, jangantunggu lama-lama, kembalilah ke pangkal jalan, katakan pada diri, "WAHAI DIRI, KAU BERKAHWIN KERANA ALLAH SWT..." Insya-Allah, "Talian Hayat" perkahwinan kita akan tersambung semula dengan Allah. Hukum-hakam Allah akan berdaulat semula. Insyallah, ketenangan akan menjelma semula.
Selama mana prinsip itu dipatuhi, segala itulah Allah menjamin cinta antara pasangan suami isteri itu tumbuh, subur dan berbunga sekalipun mereka tidak pernah bercinta sebelum berkahwin. Dan bagi yang telah berkahwin pula (tidak kira berapa lama), syariat Allah ini jika dijadikan rujukan bersama antara suami isteri, insyallah rumah tangga akan kembali tenang walaupun ada pergolakan. Sudah tentu hati-hati yang mengingati yang satu akan bersatu!!
Mungkin terlalu ideal terlalu jauh untuk melihat tradisi perkahwinan Rasulullah saw dan para sahabatnya yang seba indah. Tetapi cukuplah kita mengimbau trend perkahwinan masyarakat Melayu Islam satu ketika dahulu yang menyaksikan ramai berkahwin atas pilihan ibu bapa yang mengenal bakal menantu dan perkahwinan itu ternyata berjaya.
Tradisi itu berjalan dengan baik dan teratur kerana pada waktu itu anak-anak sudah dididik dengan asas agama dan akhlak yang teguh serta patuh kepada ibu bapa. Pada waktu itu anak-anak yang baik akan mematuhi perintah ibu bapa yang baik yang memilih orang baik untuk menjadi suami atau isteri kepada anak mereka. Sementara ibu bapa pula memang sedia mewarisi sifat-sifat mulia daripada generasi sebelumnya juga mementingkan kepentingan agama dan akhlak.
Kita akan dibantu oleh niat yang tulus sebelum berkahwin dahulu. Jika tulus pasti lurus walaupun kadang-kadang bengkang-bengkok juga di pertengahannya. Tetapi jika awal-awal sudah bengkok, rumah tangga akan semakin tersasar dan sukar sekali mencari jalan kembali.
Oleh sebab itu, semasa memilih calon suami atau isteri mestilah berdasarkan panduan yang diberikan oleh nabi Muhammad saw melalui sabdanya yang bermaksud: "Dikahwini wanita itu atas empat faktor; harta, keturunan, rupa dan agama. Maka kahwinilah atas dasar agama nescaya kamu akan mendapat kebajikan".
Hendak membuat pilihan kita mesti kenal bagaimana tahap beragamanya, bila sudah kenal, berkahwinlah. Insyallah, nanti pasti ada cinta. Bukan cinta, kemudian berkahwin selepas itu baru kenal...
Eh, ini pelik? Tidak. Inilah praktikal dan realistik dulu, kini dan akan datang. Lihat sahaja gambaran kenal baru cinta dalam Filem Ketika Cinta Bertasbih. Jika mampu digambarkan melalui filem, ia mampu juga direalisasikan dalam kehidupan. Dalam filem itu jelas digambarkan bagaimana orang yang baik melamar orang yang baik untuk orang baik.
Sungguh indah bila cinta bertasbih (memuji Allah). Yakni bila cinta tunduk kepada kehendak Allah. Tetapi kini terbalik, masyarakat begitu hodoh jadinya apabila manusia bertasbihkan cinta - lalu kehendak Allah tunduk kepada cinta!
Dalam masyarakat yang sangat memandang tinggi nilai akhlak dan budi, perkahwinan melalui "orang Perantaraan" yang juga dipercayai kesolehannya akan mudah dolaksanakan. Dan perkahwinan tanpa didahului cinta sudah menjadi perkara biasa pada ketika itu.
Namun ini tidaklah menafikan perkara-perkara yang dibolehkan dan memang dibenarkan oleh syariat untuk dilakukan sebelum sesuatu perkahwinan dipersetujui. Misalnya seseorang dibolehkan melihat rupa calon isteri atau suami, menyelidiki maklumat tentang keperibadiaan dan lain-lain latar belakang calon. Namun fokusnya tetap "mengenal" agama bakal calon.
Itu semua dapat dibuat dengan adanya pengaturan orang tengah - sama ada terdiri daripada keluarga atau teman-teman rapat. Tegasnya, tidak payahlah seseorang itu sendiri bersusah payah mendapatkan "maklumat" tentang calon suami atau isteri melalui cara percintaan yang melampaui batas. Nanti bukan maklumat yang dapat, tapi maksiat.
Bayangkan betapa indahnya saat pertemuan dua mempelai yang dipertemukan atas keredhaan Allah serta restu ibu bapa dan masyarakat. Thrill dan suasana suspens sudah semestinya ada yang boleh menambahkan lagi keindahan pertemuan pertama.
Bagi yang sudah lama berumah tangga tidak hairanlah kalau suasana bulan madu akan lebih panjang malah akan terus berkekalan sepanjang perkahwinan. Pastinya dalam perlaksanaan rumah tangga Islam sudah ada tip-tip tertentu yang jika diamalkan akan mengekalkan suasana kemanisannya.
Antara tip yang baik ialah isteri sentiasa mengekalkan perasaan malu di hadapan suami, isteri dan suami sentiasa berhias dan memakai haruman, pandangan kasih oleh suami, pandangan cinta oleh isteri, adab serta seni-seni dalam hubungan seks dan lain-lain perkara yang banyak ditulis dalam hadis dan kitab-kitab para ulama muktabar.
Cinta sebelum perkahwinan tidak mempunyai keistimewaan sama seperti cinta selepas perkahwinan. Ruangnya begitu terhad untuk membuktikan kecintaan. Hal ini kerana Allah sangat melarang zina malah segala perbuatan yang boleh menghampiri seperti bergaul bebas, berkhalwat, memandang dengan nafsu, bersenda gurau dan sebagainya.
Walhal cinta sebelum perkahwinan sangat terdedah kepada perbuatan menghampiri zina sama ada secara lisan atau perbuatan, disengajakan atau kerana tidak mampu menahan godaan. Ketika itulah cinta mula dinodai oleh nafsu. Fitrah hati cinta dan kasih sayang sudah bertukar menjadi kehendak biologi seks semata-mata.
Apabila seseorang mencintai kekasihnya melibihi cintakan Allah, maka mudahlah hukum Allah dilanggar. Kerana kekasih, Allah tersisih. Inilah fenomena lumrah dalam masyarakat hari ini terutamanya dalam kalangan remaja. Maruah diri, nama baik keluarga, kesucian syariat rela dipertaruhkan untuk mendapatkan cinta.
Malangnya cinta yang diburu adalah cinta palsu. Yang mana keindahan sementara dan menipu. Seseorang itu dikira sudah bernasib baik jika cinta itu sempat dibawa menjejaki gerbang perkahwinan walaupun kemudiannya tidak indah dan akhirnya berpisah. Namun kajian menunjukkan cinta yang kotor patah di tengah jalan. tidak sempat berumah tangga cinta telah berkecai.
Bagi sempat berumah tangga ramai pasangan yang bercerai-berai walaupun mereka telah melalui saat-saat indah di alam percintaan. tetapi yang paling ramai ialah mereka yang hanya mampu mempertahankan perkahwinan tetapi gagal mengekalkan keindahan cinta di dalamnya. Mereka yang kecewa ini kerap mengungkapkan, perkahwinan adalah pusara percintaan!!
Terbukti tidak ada keindahan dengan mengetepikan Tuhan!!