0

Membuang Waktu Atau Membunuh Masa


Demikianlah sikap positif golongan salaf dalam hal menjaga dan memelihara masa; dan sikap mereka terhadap menilai dan menghargai masa serta bahaya membuang masa. Maka oleh yang demikian adalah antara perkara yang menyayat hati dan perkara yang paling menyedihkan dan dikesalikan sekali, apa yang kita saksikan dewasa ini di kalangan umat Islam, gejala atau fenomena menyia-nyiakan dan membuang masa yang telah melebihi had pembaziran hingga mencapai had pemborosan atau membuang masa dalam perkara yang tidak berfaedah menurut Islam.

Menurut hakikat sebenarnya bahawa "kebodohan" dalam hal memanfaatkan dan mentadbir masa paling berbahaya berbanding "kebodohan" dalam membelanjakan atau mempergunakan wang dan harta. Sesungguhnya orang yang membazirkan dan membuang-buang masa lebih layak diterapkan hukum hajr(anak di bawah umur yang belum dapat mengendalikan wang) terhadap mereka berbanding dikenakan terhadap orang-orang yang melakukan pembaziran harta benda mereka. Ini kerana wang dan harta yang hilang dapat dicari gantinya, sedangkan masa yang hilang tidak ada gantinya.

Anatara ungkapan yang sudah tidak asing lagi kerana sering disebut dan dipergunakan, bahkan selalu menjadi istilah dalam perhimpunan dan pertemuan ialah ungkapan "membuang masa" atau "mengisi masa senggang". Lantas anda akan menyaksikan mereka yang membazir dan membuang masa duduk berjam-jam siang atau malam di hadapan meja dadu, atau papan catur, permainan kad dan lain-lain, untuk melakukan perkara yang dibolehkan agama atau perkara yang memang diharamkan, tanpa menjadi perhatian mereka (halal atau haram perkara tersebut). Mereka lengkah dan lalai daripada mengingati Allah, daripada menunaikan solat, daripada melakukan tugas keagamaan dan tugas keduniaan. Sekiranya anda bertanya mereka mengenai apa yang mereka lakukan tersebut dan kerugian yang timbul di sebaliknya, mereka dengan terus terang berkata: kami hanya mengisi masa terluang, membuang strees dan lain-lain. Mereka tidak sedar bahawa sebenarnya mereka membunuh dan memusnahkan masa. Sesiapa yang membunuh masa bererti membunuh dirinya sendiri. Hal ini dianggap satu jenayah bunuh diri yang berlangsung secara perlahan-perlahan yang dilakukan secara bebas dan terbuka. Tidak pernah dilakukan hukuman ke atas orang-orang yang melakukan jenayah seperti ini. memang, bagaimana hendak dilakukan hukuman terhadap jenayah seperti ini kerana orang yang melakukannya tidak menyedari jenayah tersebut, dia tidak tahu pula mengenai kesan dan bahayanya (baik dalam jangka pendek mahupun jangka panjang samada terhadap dirinya ataupun terhadap ahli keluarga, masyarakat dan umat).

|

0 Comments

Post a Comment

Copyright © 2009 FIRSHAMIRAH All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.