0

DOA Jalan Pintas Menuju Allah

Posted by firdaus on 12:06:00 PM
Doa adalah satu amalan yang dikira sebagai ibadah. Hal ini dijelaskan sendiri oleh Rasulullah saw dalam hadis yang masyhur bahawa doa itu adalah ibadah.

Sebuahhadis yang diriwayatkan oleh al-Numan b Basyir ra, dia berkata :Aku mendengar Nabi saw bersabda: Doa itu adalah ibadah. Kemudian Baginda membacakan ayat, Dan Tuhan kamu berfirman yang bermaksud: Berdoalah kamu kepada ku nescaya Aku perkenan doa permohonan kamu. sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina. (Riwayat al-Tirmizi).

Ini adalah satu sabda Rasulullah saw mengenainya. Jika hanya semata-mata sabda baginda sahaja pun, kita sewajibnya menerima dengan penuh cinta, keghairahan untuk menghayatinya serta penuh ketaatan. Apatah lagi apabila Rasulullah saw telah memetik firman allah swt sendiri untuk menyokong sabda baginda. Cahaya berlapis cahaya. Maka hati seseorang yang benar-benar beriman akan bersinar dengan pancaran cahaya dua wahyu ini.

Adalah jelas bahawa doa merupakan satu ibadah yang begitu besar. Malah doa telah dinobatkan oleh Rasulullah saw sebagai inti sari kepada ibadah. Maka tidak hairan, doa mendapat tempat yang amat besar dalam hati seseorang yang benar-benar beriman. Malah, jika kita selidik kehidupan seharian Rasulullah saw, kita akan mendapati bahawa seluruh hidup baginda dipenuhi dan diiringi dengan doa-doa. Betapa suci dan murni kehidupan Baginda dan betapa indah jika kita dapat hiasi kehidupan kita ini dengan sunah-sunah Baginda yang penuh barakah ini.

SENJATA MUKMIN

Cuba kita bayangkan, apabila terjaga daripada tidur, ada doanya. Kemudian kita akan ke bilik air. Sebelum memasuki bilik air, ada doanya. Apabila keluar, ada doanya lagi. Apabila menyarungkan tangan kanan kepada pakaian, ada doanya. Sarung pula tangan kiri, ada doanya. Lepas itu, berada di depan cermin. Ini juga ada doanya. Begitulah seterusnya, hinggalah kita kembali melelapkan mata. Segalanya dipenuhi dengan doa. Doa demi doa. Betapa bercahaya kehidupan seseorang yang pagi dan petangnya, siang dan malamnya dihiasi dengan doa.

Bersumber daripada Ali ra, Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: Doa itu adalah senjata orang yang beriman, tiang agama dan cahaya seluruh langit dan bumi.

Selalunya kita hanya melihat doa ini dari sisi kepentingan hajat, keperluan dan permintaan yang kita pohon. Sebenarnya, sebagaimana ibadah-ibadah yang lain, kepentingan doa yang tertinggi iailah untuk menyampaikan rasa cinta kepada cinta Allah. Bahkan, doa merupakan jalan pintas paling dekat untuk seseorang itu sampai kepada Allah.

Allah adalah Tuhan. Tuhan yang telah menyifatkan dirinya sendiri sebagai al-Samad. Apa itu al-Samad? Dalam Tafsir Mafatih al-Ghaib oleh imam al-Razi menyatakan bahawa Ibn Abbas ra berkata bahawa ketika turunnya ayat kedua daripada surah al-Ikhlas ini, para sahabat bertanya, Apakah makna as-Samad? Lalu jawab baginda saw:" Dia ialah Tuan yang bertumpu dan bergantung harap kepadanya segala hajat"

|

0 Comments

Post a Comment

Copyright © 2009 FIRSHAMIRAH All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.